Khamis, 13 Mei 2010

Skrip Drama : Terjebak

1. SINOPSIS

Kisah bermula tentang seorang pemuda yang terkenang kembali detik-detik yang berlalu mengenai tragedi hidupnya. Pemuda itu bernama Syukur terpaksa menerima hukuman gantung sampai mati kerana membawa dadah tanpa disangkanya sendiri. Syukur berasa bertanggungjawab untuk membela nasib ayahnya Pak Sapar yang dijatuhi hukuman tiga tahun penjara akibat tuduhan mengugut seorang taukeh Cina bernama Ah Wong. Pak Sapar ialah seorang nelayan yang hidup dengan penuh keperitan dan kemiskinan. Kehidupan mereka yang ala kadar itu bertambah payah apabila tiba musim tengkujuh menyebabkan dia tidak dapat turun ke laut menangkap ikan. Pak Sapar juga berusaha untuk meminta bantuan daripada saudara maranya tetapi kehidupan mereka pun sama sepertinya jua. Akhirnya, Pak Sapar meminta bantuan daripada Ah Wong. Ah Wong pula seorang sering menabur janji tanpa berniat pun untuk menolong Pak Sapar. Suatu hari, Pak Sapar meminta bantuan kewangan daripada Ah Wong tetapi permintaanya telah ditolak oleh Ah Wong. Dengan rasa kesal seakan-akan dipermainkan, Pak Sapar marah sehingga berkata tanpa niat hendak membakar kedai Ah Wong dan membunuhnya. Kemudian dia pun balik ke rumah. Setibanya dia di rumah, dia berasa sangat menyesal lalu memberitahukan hal itu kepada isterinya. Isterinya memahami perasaan suaminya menyuruh supaya dia meminta maaf. Pada keesokan harinya, dia memohon maaf kepada Ah Wong dan Ah Wong pula telah memberikan wang sejumlah $300/- kepada Pak Sapar. Tanpa menyedari muslihat Ah Wong, Pak Sapar terkejut kerana dia ditahan oleh polis dan dipenjara kerana tuduhan mengugut. Anak sulungnya, Syukur berasa sangat sedih akan keadaan nasib bapanya yang dianiaya, maka dia berusaha untuk melepaskan bapanya dari penjara. Untuk itu, Syukur cuba mendapatkan kerja agar dapat mengupah seorang peguam bagi melepaskan tuduhan ke atas bapanya. Akhirnya tanpa ragu-ragu Syukur telah menerima bantuan rakannya Munif untuk menghantar sebungkus hadiah kepada kekasihnya di Kuala Belait. Malang bagi Syukur, dia tidak tahu akan kandungan bungkusan itu dan dia tertangkap. Rupa-rupanya bungkusan itu berupa dadah yang mengheratnya ke tali gantung. Syukur berasa kesal kerana dia tidak dapat membantu bapa, emak dan adik-adiknya. Dia berdoa semoga Allah melindungi keluarganya dan dia redha dengan kehendakNya.



2. KONFLIK
• Keperitan dan kemiskinan hidup menyebabkan kehidupan seseorang itu tertekan.
• Ah Wong yang tidak bertimbang rasa dan kedekut membawa bencana hidup orang lain.
• Syukur berasa bertanggungjawab kepada keluarga sanggup melakukan apa sahaja untuk membantu keluarganya.

3. MESEJ
• Manusia hendaklah bersikap sabar dalam menerima dugaan dan cabaran hidup.
• Sikap tidak bertimbang rasa dan kedekut adalah sikap yang tidak baik
• Berhati-hati dan tanamkan sifat curiga apabila diminta melakukan sesuatu pekerjaan yang ringan tetapi memperoleh pendapatan yang lumayan.
• Berfikir sebelum bertindak bagi mengelakkan penyesalan di kemudian hari.
• Dadah boleh membawa maut bukan sahaja penagih tetapi juga kepada setiap individu sama ada menanam, membawa, dan mengedar.
• Kita tidak boleh menghukum seseorang itu jahat kerana adakala seseorang itu bertindak mengikut keadaan.

4. WATAK & PERWATAKAN

i) Pak Sapar
Seorang lelaki yang berusia lewat 40, bekerja sebagai nelayan di sebuah kampung. Dia sudah beristeri mempunyai tujuh orang anak yang berusia di antara 14 hingga 23 tahun. Dia seorang yang miskin tetapi bertanggungjawab terhadap keluarganya dan berusaha untuk menyara keluarga. Dia bersifat kurang sabar apabila terlalu menghadapi tekanan dan desakan hidup. Walaubagaimana pun, Pak Sapar juga seorang yang mudah menyesali akan perbuatannya yang salah.

ii) Zakiah
Zakiah ialah isteri kepada Pak Sapar yang berusia pertengahan 40. Seorang isteri yang setia, lemah lembut dan penyayang. Dia mengharapkan agar Pak Sapar dapat mengawal perasaan marahnya itu. Zakiah begitu terkejut setelah mendapat berita akan penangkapan suaminya. Dia sangat yakin bahawa suaminya tidak bersalah untuk mengugut Ah Wong.

ii) Syukur
Anak sulung bagi Pak Sapar dan Zakiah. Syukur baru berusia 23 tahun. Dia tidak bekerja hanya membantu bapanya ke laut menangkap ikan. Seorang yang bertanggungjawab kepada keluarganya tetapi naif. Dia berasa sedih apabila mendapati bapanya bersalah atas tuduhan mengugut. Dia sanggup menerima tugasan yang diberikan oleh rakannya untuk menghantar suatu bungkusan kepada kawannya yang berada di Kuala Belait setelah dijanjikan akan dibayar dengan upah yang lumayan. Malangnya Syukur telah dianiaya oleh kawannya sendiri demi kepentingannya.

iii) Ah Wong
Taukeh Cina yang kaya seusia Pak Sapar. Dia seorang yang kurang mahir berbahasa Melayu. Dia sudah lama bermastautin dan membuka kedai di kampung Pak Sapar. Seorang yang tidak bertimbang rasa, sombong, mementingkan diri dan kedekut. Dia sanggup menganiaya Pak Sapar demi kepentingan dirinya. Dia telah merancang untuk mengenakan tuduhan palsu kepada Pak Sapar.

iv) Munif
Seorang pemuda yang seusia Syukur dan seorang pengedar dadah. Dia merupakan kawan Syukur dan mengajak Syukur untuk mencari kerja di bandar. Syukur percaya kepadanya tetapi Munif mengambil kesempatan untuk mempergunakan Syukur dalam menangani masalah Syukur demi kepentingannya sendiri. Munif telah menyuruh Syukur untuk menghantar suatu bungkusan ke Kuala Belait dan dia akan diupah dengan bayaran lumayan.

5. LATAR
Tempat - segmen 1 dan 6 berlaku di dalam ruang penjara pada masa Syukur bermonolog dan berdoa
- segmen 2 dan 4 berlaku di dalam rumah Syukur.
- segmen 3 berlaku di kedai taukeh Ah Wong.
- segmen 5 berlaku di pusat membeli-belah.

6. TEKNIK
Teknik yang digunakan tidak bersifat kronologi. Antara unsur-unsur yang digunakan adalah bermonolog, imbas kembali dan imbas muka.

1. MUZIK : MUZIK PENGENALAN .... UP .... UNDER...

2. J/HEBAH : Para pendengar sekalian dari Unit Pendidikan Khas dengan kerjasama Jabatan Perkembangan Kurikulum, Kementerian Pendidikan, kami mempersembahkan sebuah drama bertajuk: TERJEBAK hasil karya ROSNANI HJ MOHD BAKIR dari Sekolah Menengah Sultan Sharif Ali, Brunei Darussalam. Selamat mengikuti.

3. KESAN BUNYI : ( BERMONOLOG)

4. ARAHAN : SYUKUR BERADA DI DALAM PENJARA MENGINGATI KELUARGANYA DAN PERBUATAN KAWANNYA. DIA SEDANG BERMONOLOG.

5. SYUKUR : Sampai hati kau, Munif, kenapa kau menganiayakan diriku ini. Oh tak kusangka begini kesudahan hidupku, kasihan emak dan adik-adikku (MENANGIS) Emak... emak ... maafkan saya, mak! Saya menyesal kerana menambah penderitaan mak lagi...

6. MUZIK : (MUZIK SELINGAN) ... ( IMBAS KEMBALI )

7. ARAHAN : IBUBAPA SYUKUR SEDANG BERBUAL-BUAL DI RUMAH

8. ZAKIAH : ( MEMANGGIL) bang... kenapa abang termenung ni...

9. PAK SAPAR : ( MENGELUH ) Oh....!!! tak adalah Kiah, eh... mana Syukur, tak nampak batang hidung anak tu.Yang lain-lain masih di sekolah ke?

10. ZAKIAH : Ya.... bang, Syukur, entahlah bang, tadi katanya ada kawannya mengajak dia ke bandar, sambil itu mencari kerja.

11. PAK SAPAR : Eloklah itu, nak temankan abang pun payah juga.Kiah, abang ni berfikir-fikir sudah dua minggu abang tak ke laut. Bila sahaja musim tengkujuh risau
abang dibuatnya.

12. ZAKIAH : (MEMUJUK) Sabar aje bang! Kiah bukan tak suruh abang ke laut, tapi... bang, Kiah risau dengan keselamatan abang. Cuaca pada masa ini tak menentu.

13. PAK SAPAR : Abang ingat hendak ke lautlah, subuh esok! Mudah – mudahan laut tak bergelora lagi.

14. ZAKIAH : (MELARANG ) Eh... bang, janganlah bang, Kiah tak kira, bang, abang janganlah pergi. Janganlah bang, Kiah takut macam kejadian dua minggu lepas.

15. PAK SAPAR : Ajal maut di tangan Tuhan Kiah. Bukan kita yang menentukan.

16. ZAKIAH : Itu Kiah tahulah bang... tapi kalau laut bergelora pun akkan hendak diredah jua. Kerana abang degil, sikit agi perahu abang terbalik. Janganlah pergi ya... bang... ya...

17. PAK SAPAR : Kiah... kiah ... abang risaulah, simpanan makanan kita semakin merosot, duit pun tinggal berapa ringgit sahaja, abang ada jua minta tolong daripada abang Leman dan kak Biah, tapi mereka pun susah macam kita jua.

18. ZAKIAH : Sabarlah bang ...

19. PAK SAPAR : Kiah, kalau macam itu, abang fikir esok abang mahu cuba lagi pinjam duit daripada si Ah Wong. Esok abang ke sana.

20. ZAKIAH : Suka hati abanglah.

21. MUZIK : MUZIK SELINGAN

22. ARAHAN : PADA KEESOKKAN HARINYA PAK SAPAR BERADA DI KEDAI RUNCIT AH WONG

23. PAK SAPAR : Selamat pagi taukeh Wong !

24. AH WONG : Oh.... Sapar, selamat pagi. Mahu beli apa Sapar?

25. PAK SAPAR : Tak ada apa-apalah taukeh, saya ada hajat!

26. AH WONG : Hajat apa itu, Sapar? Kau mahu pinjam wang ke?

27. PAK SAPAR : Yalah... Wong, tolonglah Wong, saya mahu pinjam wang!

28. AH WONG : A... ya! hari ini saya mana ada ‘cash’ lah Sapar. Esok kau datang lagilah. Pagi-pagi mana ada banyak orang datang lagi.

29. PAK SAPAR : Bolehlah Ah Wong.

30. AH WONG : Tiadalah, Sapar.

31. PAK SAPAR : (MERAYU) Tolonglah Ah Wong, jangan itu macam, hari minggu, kau kata tiada, kelmarin saya datang, kau kata pun itu macam juga. Kenapa kau tidak mahu tolong saya ke?

32. AH WONG : Bukan begitulah Sapar, saya betul-betul tidak ada wang.

33. PAK SAPAR : (MARAH DAN GERAM) .... mentang-mentang kau sudah kaya, mula macam hidung tinggi, tidak apalah, kau lihatlah nanti ... lihatlah kalau sudah saya senang, kau punya kedai saya bakar dan kau pun saya bunuh.

34. AH WONG : (MARAH DAN MENJERIT) A... ya, esok kau datanglah.

35. AH WONG : (BERMONOLOG) Ini orang betul-betul sudah gila.

(SAMBIL MENEKAN PERAKAM KASET)

36. MUZIK : MUZIK SELINGAN

37. ARAHAN : PAK SAPAR BERADA DI RUMAH BERSAMA ISTERINYA.

38. PAK SAPAR : (MEMANGGIL DAN MENJERIT) Kiah ... oh ... Kiah....

39. ZAKIAH : (TERKEJUT) Eh.... abang! kenapa ini bang! Astagafirullahalazim..

40. PAK SAPAR : (MENGELUH) .... Ah, entahlah Kiah, ambilkan abang air segelas.

41. ZAKIAH : (BUNYI AIR DITUANG DALAM GELAS) Nah bang! Airnya.

42. PAK SAPAR : (MINUM) Menyesal abang Kiah. Apa dah jadi dengan abang ini?

43. ZAKIAH : Kenapa bang? Abang bergaduh ke? Dengan siapa bang?

44. PAK SAPAR : (MENGELUH) Ya... Kiah, dengan si Ah Wong.

45. ZAKIAH : (MENGELUH) Ah...! Kenapa bang? tak elok kita bergaduh tinggal sekampung, eloklah abang minta maaf.

46. PAK SAPAR : Ya.. Kiah, abang benar-benar marah tadi. Abang menyesal dengan apa abang kata pada si Ah Wong tadi. Esok abang akan minta maaf daripadanya.

47. ZAKIAH : Eloklah tu bang.

48. MUZIK : MUZIK SELINGAN

49. ARAHAN : ZAKIAH SAMBIL MENANGIS MEMBERITAHU SYUKUR AKAN KEADAAN BAPA SYUKUR
YANG DITANGKAP SEMASA DIA INGIN MEMINTA MAAF KEPADA TAUKEH WONG.

50. ZAKIAH : (MENANGIS) Mak tak percaya semua ini berlaku kepada kita, nak. Bapamu akan dipenjara tiga tahun nak.

51. SYUKUR : Dahlah tu mak, sabarlah mak. Saya juga tidak percaya, takkanlah bapa akan melakukan perkara tersebut. Sabarlah mak.

52. ZAKIAH : Polis-polis itu tak semestinya menangkap bapamu nak, kan tujuan bapamu ke sana untuk meminta maaf sahaja.

53. SYUKUR ; Mak... mak... sabarlah mak. tapi kata polis bapa menerima wang 300 ratus ringgit daripada taukeh Ah Wong, kononnya bapa mengugut, mak.

54. ZAKIAH : Tidak nak, mak tak percaya, mak memang tak percaya.

55. SYUKUR : Ya... mak, saya juga tidak percaya. janganlah mak risau. Kes bapa dapat diulang bicara lagi tetapi kita kena mencari seorang peguam.

56. ZAKIAH : Di mana kita hendak mencari peguam nak, di mana? Hidup kita sendiri pun payah, inikan cari peguam.

57. SYUKUR : Mak, janganlah mak sedih, saya akan ikhtiarkan untuk membebaskan bapa.

58. MUZIK : SELINGAN MUZIK

59. ARAHAN : SYUKUR BERJUMPA DENGAN KAWANNYA MUNIF. MUNIF BERJANJI AKAN MEMBANTU SYUKUR MENGATASI MASALAH KELUARGANYA.

58. MUNIF : (MEMANGGIL ) ...Syukur.... Syukur.....oh Syukur.......

59. SYUKUR : (TERKEJUT) Ah... awak, sedari tadi saya menunggu engkau. Ke mana sahaja engkau Munif. Saya ada hal nak cakap dengan engkau.

60. MUNIF : Sorilah Man, saya ada hal tadi. Kenapa engkau cari saya. Pasal kerja ke? Saya dengar bapa engkau kena tangkap polis.

61. SYUKUR : Yalah, Munif, saya risaulah. Emak asyik menangis sahaja dan saya mahu bebaskan bapa saya, tapi mana saya mahu cari duit. Engkau pun tahu saya biasanya tolong bapa saya ke laut tapi sekarang kan musim tengkujuh.

62. MUNIF : Saya boleh tolong engkau tapi ... pada masa ini saya sangat sibuk.

63. SYUKUR : Tolonglah Munif ... kerja apa sahaja. Saya risau lihat emak dapatah lagi bila ingatkan bapa. Engkau kata tempoh hari awak boleh tolong saya.

64. MUNIF : Baiklah, saya tolong engkau. Awak tolong saya hantarkan suatu bungkusan kepada kawan saya yang tinggal di Kuala Belait itu. Upahnya lumayan jua.

65. SYUKUR : Apa barangnya itu, Munif?

66. MUNIF : (KETAWA) Ha...ha...jangan risau, itu hanya hadiahlah.

67. SYUKUR : Baiklah Munif, mana barangnya?

68. MUNIF : kejap ya... saya akan bawakan ke sini. (LANGKAH KAKI BERBUNYI MENJAUH SERTA TERDENGAR BUNYI ONET KERETA DITUTUP DAN LANGKAH KAKI MENDEKAT)

69. MUNIF : Nah... ini barangnya dan alamatnya. Berhati-hati mahal itu. Nanti saya beritahu kepada kawan saya yang engkau yang menghantar barang itu.

70. SYUKUR : Baiklah Munif, terima kasih.

71. SAYUP-SAYUP KEDENGARAN BUNYI SIREN POLIS SEMAKIN MENDEKAT.

72. MUZIK : MUZIK SELINGAN ( IMBAS MUKA )

73. ARAHAN : SYUKUR BERADA DI DALAM PENJARA DAN BERDOA

74. SYUKUR : (KHUSYUK BERDOA DAN MENANGIS TERSEDU-SEDU) Ya ... Allah ya tuhanku, ampunkan dosa-dosaku. Kalau ini suratan takdirku dan kematianku menyingkap rahsiaMu, aku redha ya Allah. Ya... Allah Kau tabahkan hatiku dan juga keluargaku menerima dugaanMu. Ampunkan dosa-dosa kami, Berikanlah aku dan keluargaku kekuatan dan
ketabahan daripada ujianMu. Sesungguhnya Engkau maha mengetahui. Amin-amin ya
Rabalal Amin.

75. MUZIK : MUZIK PENUTUP UP... UNDER ....

76. J/HEBAH : Para pendengar sekalian, begitulah tadi kita telah sama-sama mengikuti drama bertajuk: TERJEBAK karya ROSNANI HJ MOHD BAKIR. Drama tadi telah dijayakan oleh:
_________________________ sebagai Syukur
__________________________ sebagai Pak Sapar
__________________________ sebagai Zakiah
__________________________ sebagai Ah Wong
__________________________ sebagai Munif
Semoga drama itu tadi memberi ikhtibar kepada kita semua.

77. MUZIK : MUZIK PENUTUP UP ... UNDER ... FADE OUT.

Tiada ulasan: