Khamis, 15 Julai 2010

Soalan Peperiksaan Pertengahan Tahun MA5 (2010)

Jawab soalan 1 dan Dua soalan yang lain. Pelajar-pelajar dinasihatkan supaya membaca semua soalan terlebih dahulu sebelum menjawab.

SOALAN 1

Baca petikan di bawah dengan teliti, kemudian ringkaskan hingga menjadi kira-kira 100 patah perkataan sahaja. Penggunaan kata-kata kamu sendiri tanpa mengubah maksud asal akan diberikan perhatian utama dalam pemarkahan.

[ 40 markah]

Anak yang membesar dalam persekitaran rumah yang dipenuhi bahan bacaan, mampu meraih kemajuan akademik cemerlang, tanpa mengira latar belakang pendidikan, pekerjaan atau kedudukan sosial ibu bapa mereka. Demikian kesimpulan kajian yang dilakukan sekumpulan pakar akademik dari Australia dan Amerika Syarikat, baru-baru ini.Kajian 20 tahun itu melibatkan seramai 70,000 keluarga dari 27 negara di serata dunia. Kajian tersebut, banyak iktibar yang boleh diambil dan wajar dijadikan teladan, khususnya bagi masyarakat Melayu/Islam. Diterbitkan dalam jurnal sosiologi, Research in Social Stratification and Mobility, Jilid 28, Terbitan 2, Jun 2010, halaman 171-197, kajian yang bertajuk Scholarly Culture and Educational Success in 27 Nations merumuskan bahawa wujudnya budaya ilmiah dalam sesebuah keluarga bergantung pada jumlah buku yang dimiliki keluarga tersebut.

Jumlah buku yang banyak yang terdapat dalam rumah memainkan peranan penting dalam meningkatkan lagi prestasi akademik si anak. Kajian tersebut mendapati bahawa keluarga yang memiliki sekurang-kurangnya 500 buku di rumah, mempunyai 36 peratus kemungkinan melahirkan anak-anak yang mampu melanjutkan pelajaran ke peringkat pos-menengah, berbanding dengan keluarga yang tidak memiliki sebarang buku. Tambahan pula, keluarga yang sama berkemungkinan sebanyak 19 peratus melahirkan anak-anak yang berjaya memasuki universiti, berbanding dengan keluarga yang tidak memiliki sebarang buku langsung. Di samping itu, dapatan kajian turut menyentuh tentang fungsi budaya ilmiah yang terhasil akibat wujudnya bahan bacaan di rumah. Budaya ilmiah berupaya mengimbangi segala kekurangan lain yang terdapat dalam sesebuah keluarga, terutamanya keluarga yang sering dirundung masalah sosio- ekonomi.
Natijahnya, seseorang individu yang membesar dalam keluarga bermasalah, berupaya keluar daripada lingkaran musibah tersebut, asalkan keluarganya memupuk minat membaca dalam diri individu itu.

Budaya ilmiah dan pemilikan buku sangat berkait rapat. Kedua-dua faktor ini memainkan peranan penting dalam proses menyemai sikap cintakan buku di kalangan anak-anak. Apabila minat tersebut berkembang dan turut dikongsi sama para anggota keluarga lain, akan terwujudlah budaya ilmiah dalam keluarga itu.Budaya ilmiah merupakan gaya hidup yang sememangnya boleh dipupuk daripada awal, walaupun ia belum pernah wujud dalam sesebuah keluarga.Ia merupakan gaya hidup apabila buku-buku dianggap sebahagian daripada dekor rumah dan setaraf dengan perhiasan-perhiasan rumah yang lain.Institusi keluarga yang berteraskan budaya ilmiah, mampu melahirkan individu yang menghargai buku sebagai suatu aset.Anak-anak yang membesar dalam keluarga sedemikian, akan menjadi individu cemerlang, bukan sahaja dalam pelajaran, malah berupaya menyumbang kepada masyarakat umum. Sebagai sebuah masyarakat yang menitikberatkan pendidikan, persoalan utama yang wajar kita renungkan ialah sama ada budaya ilmiah ini benar-benar wujud dalam institusi keluarga kita.

Jika kita serius ingin melahirkan lebih banyak anak yang cemerlang dalam pelajaran, kita perlu mewujudkan persekitaran di mana anak-anak kita minat membaca dan cintakan buku serta sedar betapa tingginya nilai sesuatu ilmu itu. Apa salahnya jika kita memperuntukkan sedikit wang dan mengadakan bilik bacaan yang selesa untuk anak-anak kita? Jika ruang rumah kita terhad, maka cukuplah sekadar adanya sudut membaca sahaja. Mengenai isu mendapatkan bahan bacaan, toko-toko buku setempat sering menganjurkan pesta buku tahunan atau pada setiap musim cuti sekolah.


[http://cyberita.asia1.com.sg]


SOALAN 2
Baca petikan di bawah dengan teliti, kemudian jawab soalan-soalan yang berikut.


Era penyejagatan pada masa ini semakin hari semakin berkembang pesat ekoran sikap manusia sentiasa berusaha untuk mencapai dan mendominasikan kejayaan di dunia. Manusia pula sanggup melakukan apa-apa sahaja tanpa berputus asa untuk memperoleh kejayaan dalam era penyejagatan ini bak kata pepatah genggam bara api biar sampai jadi arang. Dalam era penyejagatan ini seiring dengan perkembangan semasa, manusia mencipta teknologi supaya sesuatu berita atau maklumat terkini tersebar dengan mudah dan lebih pantas. Terdapat beberapa kesan negatif yang berlaku sebagai akibat era penyejagatan yang semakin berkembang ini.

Salah satu kesan negatif yang terjadi akibat era penyejagatan ialah penyelewangan teknologi di negara-negara asing. Dengan adanya pelbagai kemudahan teknologi, manusia akan menyalahgunakan segala peralatan yang mampu membinasakan pihak lawan. Hal ini demikian kerana kemudahan teknologi yang maju akan menyebabkan manusia menjadi lebih ghairah untuk menguasai negara lain di dunia. Di dunia. sebagai contohnya, Amerika Syarikat telah menggunakan teknologi setelit untuk mengetahui dan mendapatkan maklumat tentang kekuatan sesebuah negara seperti Iraq, Iran, Pakistan dan negara-negara lain. Tegasnya sebuah negara yang mempunyai kemudahan teknologi yang maju telah menyalahgunakan kemajuan teknologi untuk pengintipan sebelum melancarkan serangan.

Selain itu, kesan negatif yang berlaku sebagai akibat penyejagatan ialah penyalahgunaan maklumat. Hal ini demikian kerana apabila terjadinya penyejagatan, manusia akan menyimpan maklumat di dalam komputer atau di dalam telefon bimbit. Dengan adanya hal sedemikian, pelbagai maklumat yang sepatutnya menjadi rahsia atau privasi akan mudah terbongkar dan dijadikan sebagai bahan yang akan memburukan masyarakat atau individu. Misalnya kod-kod rahsia kerajaan atau strategi pertahanan sesebuah negara akan digodam dan dicerobohi oleh pihak yang tidak bertanggungjawab. Begitu juga halnya dengan gambar-gambar atau dokumen peribadi seseorang yang dapat disebarkan dengan pantas melalui internet. Oleh itu, kemajuan yang dicapai melalui teknologi maklumat dan komunikasi dalam era penyejagatan ini telah menyebabkan ada pihak yang sanggup menggadaikan maruah negara atau maruah orang lain untuk menyebarkan maklumat yang dianggap rahsia atau peribadi.

Seterusnya, era penyejagatan juga mengakibatkan manusia terdedah dengan budaya-budaya yang mampu meruntuhkan akhlak. Hal ini demikian kerana peningkatan kemajuan sesebuah negara yang begitu pesat akan menyebabkan sesuatu budaya yang kurang sihat dapat menular dengan cepat dalam masyarakat sekaligus merosakkan minda dan akhlak masyarakat. Sebagai contohnya, sebagai akibat kemajuan era penyejagatan, banyak anak muda terpengaruh oleh budaya barat yang negatif seperti punk, gothic dan sebagainya.

Sebagai kesimpulannya, penyejagatan banyak menyumbang ke arah kesan negatif kepada manusia sejagat. Malah Brunei juga merupakan salah sebuah negara yang menghadapi kesan buruk era penyejagatan ini. Jadi kita sebagai masyarakat yang perihatin mestilah sentiasa mengambil berat tentang kesan negatif penyejagatan yang semakin menular dalam kalangan masyarakat di seluruh dunia. Semua pihak mestilah bersama-sama untuk memikul tanggungjawab bagi mengurangkan kesan buruk penyejagatan bak kata pepatah hati kuman sama dicecah, hati gajah sama dilapah. Oleh itu kita mesti sentiasa berusaha untuk merungkaikan masalah dan bukannya merumitkan keadaan kerana sekiranya kita terlambat keadaan akan menjadi semakin buruk pada ketika itu nasi sudah menjadi bubur.

(Dipetik dan diubahsuaikan daripada sampel soalan, Penyejagatan banyak membawa
kesan negatif kepada rakyat dan negara: halamna 9 &10)


1. Jawab soalan-soalan berikut dengan teliti berpandukan petikan .
1) Apakah yang berkembang pesat pada masa sekarang ini?
2) Apakah yang dicipta manusia seiring dengan perkembangan semasa?
3) Pada pendapat kamu apakah akan terjadi sekiranya ada pelbagai maklumat tidak menjadi rahsia dan privasi lagi?
4) Nyatakan tiga budaya barat yang negatif yang mudah menjadi ikutan anak muda dalam era penyejagatan?
5) Nyatakan 3 contoh peribahasa yang terdapat dalam teks di atas?


[15 markah]

2. Berikan maksud perkataan-perkataan berikut.
i) penyejagatan
ii) mendominasikan
iii) negatif
iv) teknologi
v) menular

[5 markah]


3. Bina ayat di bawah ini bagi menjelaskan maksud dan menunjukkan bahawa kamu faham.

i) tawar
ii) menawar
iii) menawarkan
iv) menawari
v) tawaran


[10 markah]





SOALAN 3

Baca teks klasik dengan teliti di bawah ini kemudian jawab soalan-soalan berikutnya.

Dan Tuan Bujang pun sampailah umur tiga belas tahun. Maka Tuan Bujang pun minta pergi ke Batanghari, hendak mencari ilmu. Maka dilepas oleh Puteri Jilan. Maka Tuan Bujang pun turunlah menumpang orang Minangkabau, orang Pagaruyung, Dan berjalan sampai ke Tambang, lalu ke Limun, Batanghari. Serta sampai di situ, maka Tuan Bujang pun hendak pergi ke Rawas, hulu Palembang. Tuan Bujang pun sampailah ke Rawas, lalu hilir ke Palembang. Dan Tuan Bujang datang menghadap Sultan Lema Abang dan bertemu dengan Sultan Lema Abang, lalu Tuan Bujang berdatang sembah, hendak berhambakan dirinya, menggula.

Maka Sultan Lema Abang pun terlalu sukacita melihat sikap Tuan Bujang itu. Maka dipeliharakan sultan. Jika sultan berjalan atau dihadap orang, akan Tuan Bujang membawa tepak. Dan selamanya Tuan Bujang membawa tepak, sultan tiada boleh duduk di atas, kegatalan punggungnya, jika berjalan dahulu, sultan tiada berjalan seperti ada orang memegangnya.Sultan Lema Abang pun hairan, lalu bertitah, “selama budak ini membawa tiga puluh dua celapa ini, tiadalah sedap tubuhku, sakit sahaja.”

(Dipetik daripada cerita “Asal Usul Raja Kecil” dalam Antologi Kerusi)

1. Pindahkan bahasa Melayu Klasik di atas ke dalam Bahasa Melayu Moden.


[15 markah]


2. Berikan makna rangkaikata-rangkaikata berikut.
i) hendak mencari ilmu
ii) berdatang sembah
iii) dipeliharakan sultan
iv) membawa tepak
v) tiadalah sedap tubuhku

[5 markah]



3. Baca ayat-ayat di bawah ini, kemudian nyatakan peribahasa yang sesuai.

i) Budak itu mencontohi sikap bapanya yang sangat suka membaca.
ii) “Kamu tidak perlu takut jika kamu di pihak yang benar” kata Maruf kepada Azie.
iii Maafilah dia kerana dia telah menginsafi kesilapannya itu,” kata ibu kepada adik.
iv) Makcik Munah gembira kerana akhirnya suaminya berbaik-baik semula dengan adik beradiknya.
v) Ibu dan bapa Hadi menasihati supaya tidak mengikut perasaan semasa memandu di jalan raya.


[10 markah]


SOALAN 4

Baca pantun dengan teliti kemudian jawab soalan-soalan yang mengikuti.

Pergi ke hutan mengutip pegaga
Pegaga tumbuh di dalam paya
Hendak lari mulut naga
Termasuk pula ke mulut buaya.

Buah berangan buah bidara
Ranting tersangkut dihadapan pintu
Bersubang ku sangka dara
Bermisai berjanggut kenapa begitu

Burung didik terbang di awan
Muda belia menangkap ikan
Baik-baik bila berkawan
Akhlak mulia mesti diutamakan

Batang beremban ditarik kuda
Kuda meringgit hendak makan
Burung terbang dipipiskan lada
Guruh di langit air di tempayan dicurahkan

Menanggung dosa itu berat
Walau pun pada orang yang alim
Wajib manusia menutup aurat
Terutamanya pada wanita muslim

Hari raya hari yang berkat
Bermaaf-maafan sesama saudara
Hai manusia bulatkan tekad
Perintah Allah laksanakan segera

(Dipetik http://istimewa2u.blogspot.com)


(i) Mengapakah orang bersubang disangkanya dara?
(ii) Pada pendapat kamu, jenis pantun di atas adalah jenis pantun apa?
(iii) Berikan 3 contoh menunjukkan puisi di atas adalah pantun?


[9 markah]



2. Berikan maksud rangkaikata di atas.

i) Hendak lari mulut naga
ii) Burung terbang dipipiskan lada
iii) guruh di langit air di tempayan dicurahkan


[6 markah]

3. Tukarkan ragam tuturan berbentuk cakap ajuk kepada karangan biasa.

“Kau nak ke mana?” tanya mak apabila dilihatnya Fuad berpakaian kemas.
“Mengapa tak makan dulu?”
“Balik nanti saya makan.” suara Fuad kendur.
“Saya nak jumpa Datuk Sukri dulu. Saya tak dapat bersabar hingga esok.”
“Nak buat apa?” tanya mak.
“Saya nak ambil balik geran tanah kita tu. Saya mesti batalkan surat kuasa yang mak
turunkan cap jari mak tu,” jawab Fuad.
“Bolehkah tu Fuad?” tekan mak. “Itulah kau. Dulu-dulu lagi mak nak pindahkan nama
tanah tu pada kau. Kau tak nak. Kalau tidak taklah jadi macam ni.”
Fuad tersengih. “Kan mak masih hidup? Buat apa nak pindah-pindah milik pula?” kata Fuad.

[10 markah]


4. Dalam ayat-ayat berikut terdapat dua penggunaan kesalahan iaitu ejaan dan imbuhan yang salah. Kenalpasti kesalahan-kesalahan tersebut dan betulkan dengan menulis ayat itu semula tanpa mengubah struktur dan maksud asal.

i) Saya mendapat banyak pengetahuan dari buku yang dibaca oleh saya.
ii) Ibu menasihatkan saya supaya rajin mengulangkaji pelajaran.
iii)Setengah penonton membaling tin minuman ke padang apabila pemain gagal memasukkan gol.
iv) Semua kotak-kotak itu sudah dibawa mereka dari dalam van.
v) Oleh kerana tilam itu lembap, penolong rumah saya telah menjemurnya.


[5 markah]




SELAMAT MENJAWAB & SEMOGA BERJAYA