Khamis, 13 Mei 2010

SM Sultan Sharif Ali




Sekolah Menengah Sultan Sharif Ali (SMSSA) terletak di Simpang 616 Jalan Muara, Kampung Salambigar. Sebelum ini dikenali sebagai Sekolah Menengah Kampong Salambigar. Penamaan rasmi sekolah ini telah disempurnakan oleh mantan Menteri Pendidikan, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Laila Wijaya Dato Seri Setia Haji Awang Abdul Aziz bin Begawan Pehin Udana Khatib Dato Paduka Haji Awang Umar pada 25 September 1993 Masehi bersamaan dengan 9 Rabiulakhir 1414 Hijrah. Sekolah ini mempunyai 6 blok bangunan dan dilengkapi dengan pelbagai kemudahan untuk pengajaran dan pembelajaran.

Sekolah ini mula berfungsi pada 2 Jun 1990 Pada masa itu, keramaian penuntutnya hanya seramai 604 orang yang terdiri daripada 416 orang penuntut dari Sekolah Menengah dan 188 orang pula adalah penuntut Menengah 1. Kebanyakan para penuntut itu dari STPRI, SM SMJA, SM Berakas dan SM PIHM Serasa. Pengetua pertama ialah Allahyarham Awang Haji Mohd Aliddin bin Abd Ghani dan dibantu oleh 28 orang tenaga pengajar.

Pada masa ini, dengan menerima kemasukan para penuntut dari Sekolah tadahan seperti SR Haji Mohd Salleh, SR Tanah Jambu dan SR OKBI dan kawasan tadahan termasuk beberapa buah kampong dari Kampung Subok, Kampung Salambigar hingga Kampung Salar, keramaian penuntut semakin bertambah. Keramaian tenaga pengajar ialah 96 orang dan 17 orang kakitangan bukan mengajar.

Dari aspek pencapaian akademik, sekolah ini merupakan antara 10 sekolah terbaik dalam pencapaian PMB 2006. Selain itu, sekolah ini turut menyertai pelbagai peraduan atau pertandingan di peringkat kebangsaan yang sangat membanggakan.

Kejayaan Melalui Swa-disiplin yang merupakan motto sekolah telah memacu semangat dan keupayaan diri para penuntut untuk berjaya dalam pembelajaran mereka dan diperteguhkan lagi dengan visi sekolah Beriman, Bertanggungjawab, Berakhlak Mulia, Berdisiplin dan Berpengetahuan akhirnya tercipta jati diri dalam merealisasikan impian dan harapan demi agama, bangsa dan negara.

Tiada ulasan: