Khamis, 13 Mei 2010

perginya seorang sahabat

Allahyarhamah Cikgu Norjanah Binti Hj Matussin

Pada pagi 22 Oktober 2006 bersamaan 29 Ramadhan 1427, saya dikejutkan dengan berita bahawa Cikgu Jaliha @Norjanah Binti Hj Matussin telah kembali ke Rahmatullah setelah menghidap sakit kanser ovari. Beliau telah meninggal dunia pada 12.32 tengah hari. Pemergian beliau menyebabkan kita kehilangan besar seorang rakan, pembimbing, pentadbir dan guru yang disayangi.

Beliau lahir pada 29 Mei 1960 di Kampong Sungai Hanching. Beliau merupakan anak yang ke-4 daripada 6 orang adik beradik yang terdiri daripada semua anak perempuan. Beliau memulakan pendidikan awal ketika berumur 6 tahun di Sekolah Rendah Hj Mohd Salleh, Kampong Sungai Hanching, kemudian menyambung pendidikan menengah di Sekolah Menengah Berakas. Setelah menyelesaikan peperiksaan O level, beliau menyambung pelajaran di Menengah 6 Bawah di Maktab Sultan Omar Ali Saifuddien dan Menengah 6 Atas di Maktab Duli. Beliau kemudian meneruskan pengajian Sarjana Muda Humanities di Middlesex University, United Kingdom. Selepas kembali ke tanah air, beliau ditempatkan beberapa bulan di SMJA dan mengajar matapelajaran Geografi dan History. Beliau kemudiannya membuat PGCE di Counterberry College, New Zealand selama setahun.

Beliau ditempatkan di SM PAP Masna tetapi hanya sekejap sahaja, Selepas itu, beliau telah ditempatkan di Sekolah Menengah Sultan Sharif Ali yang baru sahaja dibuka pada tahun 1990. Beliau merupakan salah seorang guru yang pertama dan lama bertugas di Sekolah Menengah Sultan Sharif sejak pembukaan sekolah ini bersama rakan-rakan setugas antaranya Cikgu Pg Hj Samsudin Bin Pg Salim, Cikgu Teo Siew Bay, Cikgu Hjh Ainah Binti Hj Ibrahim, Mrs Lai Mui Hoi dan Cikgu Hjh Zaharah bti Jais. Beliau mengajar Geografi manakala kawan baik beliau Cikgu Hjh Ainah mengajar History.

Beliau pernah dilantik menjadi Ketua Jabatan Geografi, Setiausaha Peperiksaan dan Guru Kanan Akademik. Pada 13 Disember 2004, beliau telah dilantik menjadi Timbalan Pengetua Akademik. Beliau mempunyai banyak pengalaman terutama dalam bidang tugas yang diamanahkan kepada beliau.

Menurut adik beliau, Mardiyah (adik beliau yang paling rapat dan muda setahun daripada beliau) banyak kenangan manis yang sukar dilupakan seperti berpadi menghalau pipit semasa kecil dengan membuat kulinting, semasa remaja pula berjalan kaki menungggu bas di hadapan masjid Kg Sungai Hanching seawal 6.30 pagi dan beliau sangat gemar membaca dengan suara yang nyaring. Dengan berbuat demikian, beliau boleh memahami apa yang dibaca.

Tambahan Mardiyah lagi, beliau seorang yang mempunyai kesungguhan, bersemangat tinggi dan dedikasi dalam melakukan apa sahaja, Jika Mardiyah seorang yang mempunyai banyak idea manakala beliau pula yang merupakan orang yang melaksanakan idea-idea itu menjadi kenyataan. Beliau seorang yang “happy go lucky” dan mudah memberikan kerjasama. Beliau sangat suka membuat perkumpulan dan pertemuan keluarga dengan menyediakan masakan untuk pertemuan keluarga pada hujung minggu atau pada cuti kelepasan awam.

Hobi beliau pada masa lapang adalah menjahit, membuat cross stitch, mengumpul setem, menanam orkid, mengambil gambar, memasak dan melancong bersama kawan-kawan. Pada masa beliau bercuti sakit, beliau berkesempatan membuat cross stitch namun hasil kerja beliau masih ada lagi yang belum habis disiapkan oleh beliau.

Beliau sering mengadu sakit tetapi tidak mengagak bahawa penyakit kanser sudah berkembang dalam tubuh beliau, sehinggalah pada majlis perkahwinan anak lelaki kakak beliau, beliau terasa sakit yang teramat sakit. Dalam hati Mardiyah dia dapat merasakan bahawa sakit beliau dihadapi adalah sejenis penyakit berbahaya. Semasa ujian C.T. Scan dijalankan keputusan telah diperolehi dan tidak dapat dinafikan lagi bahawa beliau sedang menghidap penyakit kanser. Semasa beliau menerima keputusan dari ujian tersebut, dia seakan-akan mengetahui bahawa dia menghidapi kanser. Semasa doktor memaklumkan akan penyakitnya, beliau tidak memberikan sebarang reaksi sehingga adik-beradik beliau tidak dapat mengagak sama ada dia menerima atau sebaliknya. Namun Mardiyah berasa yakin bahawa beliau redha dengan ujian yang diberikan kepadanya. Adik-beradik pula sentiasa memberikan sokongan, bantuan dan nasihat supaya tabah dan sabar menghadapinya.

Pada hari terakhir di rumah sakit, Mardiyah telah menjaga beliau dan beliau mengatakan bahawa keadaan diri semakin membaik kepada doktor yang memeriksanya. Pada waktu Asar pula dengan kuasaNya, penyakit kanser mula mengganas lagi. Beliau dalam keadaan nazak. Saya ditemani anak lelaki saya berkesempatan melawat beliau pada malamnya, terasa luruh hati dan sedih melihat keadaan beliau. Ahli-ahli keluarga begitu tenang dan sering memaklumkan bahawa beliau memohon maaf kepada semua rakan yang mengenali beliau.

Pada keesokan harinya 29 Ramadhan 1427, tepat 12.31 tengah hari, sehari sebelum kita menyambut adilfitri, beliau telah kembali kepadaNya.

“Hanya sekalung doa dapat dikirimkan semoga roh beliau dicucuri Rahmat dan ditempatkan dalam golongan yang dikasihi Allah, Amin” Al-Fatihah.



Bingkasan terakhir untuk sahabatku...

Allayarhamah seorang yang lembut, mudah diajak berbincang, penyabar, mudah ketawa dan tegas dalam apa jua perkara. Saya mengenali beliau ketika mula menapak kaki ke sekolah ini pada 2 Ogos 2000. Beliau juga seorang sahabat dan mentor yang baik dalam mengajar penyusunan jadual waktu sekolah. Suatu sifat yang dapat dicontohi adalah semangat kerja. Beliau yang bersungguh-sungguh dalam menjalani tanggungjawab yang diamanahkan kepada beliau. Kerisauan tentang tugasan yang tertangguh kerana sakit beliau sangat ketara malah masih mahu datang ke sekolah sungguhpun dalam keadaan tidak mengizinkan. Saya berasa kagum dengan semangat beliau. Saya juga berasa bertuah kerana sempat mengenali hati budinya yang luhur dan ikhlas dalam persahabatan. Semoga Allah menempatkan beliau bersama-sama orang yang beriman. Amin.
Al-Fatihah.

Tiada ulasan: