Isnin, 17 Mei 2010

Seloka

Seloka merujuk kepada puisi Melayu bebas yang tidak mempunyai bentuk tertentu dari segi rangkap, jumlah baris, sama ada mempunyai irama atau tidak. Secara amnya,, ia terdiri daripada ungkapan sejajar yang melebihi daripada dua baris, mempunyai kadensa (naik-turunnya nada, kelantangan atau tekanan pada akhir kalimat atau di depan jeda dalam pola intonasi) yang sama seperti talibun (sejenis puisi lama seperti pantun karena mempunyai sampiran dan isi, tetapi lebih dari 4 baris ( mulai dari 6 baris hingga 20 baris. Berirama abc-abc, abcd-abcd, abcde-abcde, dan seterusnya) dan prosa berirama.

Satu ciri penting bagi seloka adalah ia mempunyai maksud mengejek, menyindir secara serius atau jenaka, mengkritik tingkah-laku dan sifat negatif.

Antara contoh seloka yang terdapat dalam kesusteraan Melayu lama adalah :-

* Seloka Emak Si Rendang
* Seloka Pak Kaduk
* Seloka Pak Pandir

Topik Seloka : Pandai Pak Pandir

Anak dipijak dagang dijinjing,
Kucing dibunuh tikus dibela,
Harta habis badan tergadai,
Mendengar gelagak dagang,
Tak sedar bertelanjang,
Mendengar guruh di langit,
Air di tempayan dicurahkan,
Mulut kena suap pisang,
Buntut kena cangkuk onak,
Gunting makan di hujung,
Pak Pandir juga yang menanggung,
Apa didengar gelagak dagang,
Gelagak rambutan jantan,
Orang berbunga dia berbunga,
Orang berbuah dia haram,
Kilat memancar hujan tak jadi,
Awak juga berkecundangan.


MAKSUD

Pak Pandir berkelakuan aneh kerana mengetepikan anak sendiri , sebaliknya menyanjung orang luar.

Pak Pandir membuat kerja yang sia - sia dan merugikan .

Pak Pandir mengikut perangai orang luar tanpa menyedari keadaan dirinya yang miskin Sebagai akibatnya, Pak Pandir kehabisan harta kecuali dirinya sendiri.

Pak Pandir terlalu cepat mengharapkan sesuatu keuntungan yang belum pasti sehingga apa-apa yang ada disia-siakannya

Pak Pandir leka dengan kata-kata manis orang dagang yang sebenarnya berniat jahat. Kata-kata manis itu sungguh bersopan tetapi amat tajam maknanya hingga orang boleh terpedaya

Kata-kata manis orang luar tidak mendatangkan apa-apa hasil, sebaliknya Pak Pandir sendirilah yang rugi atau meneima akibatnya .

ISI DAN PERSOALAN

1. Kebodohan merugikan diri sendiri .
2. Sikap suka meniru orang lain tanpa menyedari kemampuan diri.
3. Sikap tamak membawa rugi.
4. Sikap mengutamakan orang lain daripada keluarga sendiri.
5. Sikap tidak mahu berfikir panjang sebelum melakukan sesuatu perkara

BENTUK DAN CIRI-CIRI SELOKA

1. Tujuh belas baris .
2. Tiga hingga empat perkataan dalam sebaris .
3. Tujuh hingga sepuluh suku kata sebaris .
4. Bentuknya bebas .

GAYA BAHASA DAN KEINDAHAN BUNYI

1. Pemilihan kata (diksi) yang indah. Contohnya: gelagak dagang, dipijak, dijinjing.
2. Anafora. Contohnya : Orang berbunga dia berbunga. Orang berbuah dia haram
3. Sinkof. Contohnya : tak sedar bertelanjang.
4. Peribahasa .Contohnya : mendengar guruh di langit, air di tempayan dicurahkan
5. Paradoks. Contohnya: kucing diburu tikus dibela
6. Repitasi. Contohnya. orang berbunga dia berbunga
7. Asonasi. Contohnya: kucing dibunuh tikus dibela (pergulangan vokal u)
8. Aliterasi. Contohnya : mendengar gelagak dagang (pergulagan konsonan g)

NILAI

1. Rasional. Contohnya ,berfikiran rasional sebelum melakukan sesuatu tindakan.
2. Berhati-hati. Contohnya, berhati-hati sebelum membuat sebarang keputusan.

PENGAJARAN

1. Kita hendaklah sentiasa melakukan kerja-kerja yang berfaedah.
2. Kita hendaklah mengelakkan diri daripada mengharapkan sesuatu yang belum pasti
3. Kita hendaklah berhati-hati ketika melakukan sesuatu pekerjaan kerana kesilapan akan merugikan diri sendiri.
4. Kita hendaklah mengelakkan diri daripada mudah terpengaruh oleh kata-kata yang manis kerana di sebalik kata-kata yang manis itu,lazimnya tersembunyi niat yang jahat.
5. Kita hendaklah teliti dalam menghadapi kerenah manusia kerana sesetengah manusia hanya berpura-pura baik di hadapan kita tetapi sebaliknya dia berniat serong atau jahat

TEMA: Sindiran terhadap sikap sesetengah manusia yang mudah mempercayai orang lain.



Sumber: http://notaspm.blogspot.com/search/label/Bahasa%20Melayu

Tiada ulasan: